Pusat Pengajian al-Quran dan Fardu Ain Darul Mustaqqim (DM) terus melakar perjuangan
tersendiri apabila bukan sahaja menyebarkan ilmu agama secara percuma, tetapi juga
membantu mangsa-mangsa ahlong di seluruh negara tanpa mengenakan sebarang caj.
Majlis pembukaan ibu pejabat (HQ) baharu Darul Mustaqqim semalam berlangsung penuh
bermakna apabila ia turut diserikan dengan sambutan ulang tahun keempat penubuhan
pusat itu serta majlis memperingati Haul Al-‘Arif Billah Sayyidi Abd Hamid bin Ismail atau
lebih dikenali sebagai Paksu Mid Bukit Tembaga, guru mursyid yang menjadi sumber
inspirasi perjuangan DM.
Dalam ucapan yang disampaikan oleh Dato’ Mohd Zaki bin Dato’ Zainol (Pengurus Besar
DM) bagi pihak Pengerusi DM, Dato’ Mustaqqim bin DS Mustapa, beliau menzahirkan rasa
syukur atas dua keberkatan besar yang diraikan, iaitu pembukaan HQ baharu dan ulang
tahun keempat penubuhan Darul Mustaqqim.
“Darul Mustaqqim bukan sekadar tempat belajar, tetapi taman hati, tempat benih cinta Ilahi
ditanam, disiram dengan zikir dan disuburi dengan adab,” katanya.
Menurut beliau, perjalanan empat tahun DM bukan sesuatu yang singkat, bermula daripada
ruang kecil dengan visi besar untuk memperluaskan pengajian al-Quran dan Fardu Ain
secara percuma sambil membina sistem bimbingan bagi membantu mereka yang terjerat
dengan pinjaman tidak berlesen, scammer dan tekanan hidup.
Sementara itu, Ketua Unit Banteras Ahlong DM, Adam Mustapa atau dikenali sebagai Along
DM, berkata sejak empat tahun lalu, pusat ini menyaksikan peningkatan ketara dalam
jumlah peserta program bimbingan dan mangsa ahlong yang datang mendapatkan
bantuan.
