KUALA LUMPUR, 12 November 2025 – Empat tahun bukan tempoh yang singkat buat Unit Banteras ‘Ah Long’ di bawah Pusat Pengajian Darul Mustaqqim (DM) yang diterajui Ketua Perundingnya, Adam Mustapa atau lebih dikenali sebagai Along DM. Dari hanya sekitar 50 peserta pada awal penubuhan, kini usaha mereka berkembang pesat dan menerima kehadiran ratusan mangsa dari seluruh Malaysia.
Along ditemui sewaktu majlis sambutan ulang tahun ke-4 Darul Mustaqqim (DM), pusat pengajian Al-Quran dan Fardu Ain yang berlangsung di Sentul semalam. Dengan motto “Dari Jalanan ke Perjuangan – Legasi Diteruskan”, DM terus komited menjadi benteng penyelamat buat mangsa-mangsa sindiket pinjaman wang tanpa lesen agar kembali ke pangkal jalan.
Menurut Along, sambutan sempena ulang tahun keempat ini bukan sekadar memperingati perjuangan, tetapi menandakan keberkesanan misi DM dalam membimbing dan membantu mangsa-mangsa keluar daripada kitaran hutang serta kembali kepada landasan agama.
“Alhamdulillah, daripada awalnya kecil, kini setiap program kami meningkat dengan jayanya. Hari ini pun kehadiran terdiri daripada mangsa-mangsa pinjaman wang tanpa lesen seluruh negara. Kalau program qiamullail, jumlahnya boleh dua kali ganda daripada ini,” katanya.
Unit Banteras ‘Ah Long DM’ menjadi satu-satunya pusat pengajian yang menawarkan penyelesaian kes pinjaman wang haram secara rundingan terus (on-hand) tanpa sebarang caj atau faedah tersembunyi. Syaratnya mudah — mangsa perlu mengikuti pengajian Al-Quran dan Fardu Ain sekurang-kurangnya tiga kali seminggu selama tiga bulan.
“Kami tidak ambil sebarang bayaran. Syarat kami hanya satu — datang belajar agama. Di DM, kita bukan sekadar bantu bebas dari hutang, tapi juga pulihkan hati dan jiwa,” jelas Along.
Beliau turut menegaskan bahawa fokus utama bukan sekadar memerangi kegiatan sindiket pinjaman wang tanpa lesen, tetapi juga mendidik masyarakat supaya tidak terjebak dengan pinjaman berunsur riba.
“Kalau kita nak banteras ‘ah long’, sampai bila pun tak habis. Tapi kalau kita didik orang supaya tak pinjam, itu langkah pencegahan yang sebenar,” tegasnya.
Dalam masa sama, Along mengingatkan masyarakat agar tidak terpedaya dengan perunding palsu dan pihak tertentu yang menggunakan isu ‘ah long’ sebagai konten media sosial untuk meraih keuntungan peribadi.
“Ramai yang kononnya mahu bantu mangsa, tapi hakikatnya berbisnes dengan sindiket pinjaman wang tanpa lesen. Mereka suruh orang bayar dulu konon untuk ‘fight’ dengan ‘ah long’, tapi duit tu lesap. Itu bukan perjuangan, itu konten,” katanya tegas.
Bekas pengutip hutang itu mengakui pengalaman silamnya banyak membantu beliau memahami taktik sebenar dunia gelap pinjaman tidak berlesen. Namun, segalanya berubah apabila beliau memilih jalan agama.
“Dulu saya kejar orang untuk ambil duit, sekarang saya cari orang untuk dia belajar agama. Ketenangan sebenar datang bila saya mula solat dan kembali kepada Allah. Doa mak ayah saya banyak membantu,” katanya sebak.
Pusat Pengajian Darul Mustaqqim yang ditubuhkan atas inisiatif peribadi tanpa sebarang sumbangan luar kini menjadi benteng pendidikan dan pemulihan moral buat ramai mangsa yang pernah terjebak dengan pinjaman wang tanpa lesen, perjudian dan dadah.
“Kami bukan NGO, kami tak pernah ambil satu sen sumbangan. Semua digerakkan atas niat untuk bantu orang belajar agama dan keluar dari jerat riba,” tambahnya.
Mengakhiri temuramah, Along menyeru masyarakat agar menghentikan pinjaman berunsur riba dan mencari penyelesaian yang berlandaskan hukum Islam.
“Riba bukan sekadar dosa besar, tapi ia merosakkan keluarga dan rezeki. Bila pinjam dengan ‘ah long’,rumah tergadai, kereta tergantung, jiwa pun hilang arah. Hentikan sebelum terlambat,” pesannya.
Empat tahun perjuangan DM membuktikan bahawa perubahan bukan mustahil — dengan ilmu, kesedaran dan keberanian, seseorang mampu bangkit dari kegelapan hutang menuju cahaya hidayah.
(Kredit foto: Papa Din)
